KUALA LUMPUR – Dua anak syarikat tidak langsung Sime Darby Plantation Bhd. menjual seluruh kepentingan ekuiti mereka dalam PT Mitra Austral Sejahtera kepada PT Inti Nusa Sejahtera dengan nilai RM123.1 juta.
Dua anak syarikat itu ialah PT Ladangrumpun Suburabadi dan PT Teguh Sempurna.
Sime Darby Plantation dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, penjualan tersebut dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada pendapatan, aset bersih disatukan dan tahap kadar hutang disatukan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
Susulan penjualan itu, Mitra Austral Sejahtera bukan lagi anak syarikat tidak langsung kumpulan itu.
Syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat liabiliti terhad diperbadankan di Indonesia dengan modal berbayar sebanyak 1,350 bilion rupiah (1,000 rupiah=RM0.29), terlibat dalam penanaman kelapa sawit dan pemprosesan minyak sawit mentah dan isirung sawit.
Ia mempunyai tanah seluas 7,074.04 hektar yang ditanam dengan kelapa sawit di Kabupaten Sanggau, Kalimantan Barat, Indonesia. – BERNAMA











