AmInvestment Bank turunkan saranan ke atas TM - Utusan Malaysia

AmInvestment Bank turunkan saranan ke atas TM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – AmInvestment Bank menurunkan saranan bagi Telekom Malaysia Bhd (TM) daripada ‘beli’ kepada ‘pegang’ dengan unjuran tidak berubah dan nilai saksama berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) RM4.08 sesaham.

Firma penyelidikan itu berkata, harga saham tersebut telah melonjak 50 peratus kepada nilai saksama bersih sejak saranan dinaikkan pada 30 Mei 2019 selain susulan prestasi kewangan suku pertama 2019 TM yang kukuh, dipacu oleh penurunan ketara kos operasi sebanyak 18 peratus.

Semasa rehat tengah hari ini, saham TM melonjak 13 sen kepada RM4.18 dengan 7.74 juta saham bertukar tangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun pengurusan menunjukkan tiada masuk kira semula yang ketara pada suku pertama tahun kewangan 2019 bagi peruntukan kos yang ditanggung tahun lepas, kami kekal bimbang mengenai perbelanjaan kos lebih tinggi yang bermusim pada separuh kedua tahun kewangan 2019.

“Kami menekankan perbelanjaan modal suku pertama 2019 syarikat itu, yang berkurangan tahun ke tahun kepada RM151 juta, menyumbang hanya 5.4 peratus kepada perolehan berbanding panduan tahun kewagan 2019 oleh pengurusan sebanyak 18 peratus,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

AmInvestment Bank berpandangan, agenda pelaksanaan inisiatif kecekapan kos masih penting untuk peningkatan semula pendapatan prospektif TM, memandangkan penurunan jumlah pelanggan Streamyx adalah lebih daripada mengimbangi pertambahan pelanggan UniFi berturut-turut sejak suku kedua tahun kewangan 2017.

Pada suku pertama tahun kewangan 2019, pengguna Streamyx berkurangan tujuh peratus suku ke suku tahun dan 23 peratus tahun ke tahun kepada 872,000 manakala pendaftaran pelanggan UniFi baharu meningkat hanya dua peratus suku ke suku dan 12 peratus peratus tahun ke tahun kepada 1.3 juta pelanggan.

“Oleh itu, prospek perolehan tahun kewangan 2019 kekal tidak berubah dengan penurunan pendapatan purata UniFi setiap pengguna UniFI dijangka semakin berakhir memandangkan kebanyakan pelanggan memilih pakej kelajuan lebih pantas,” katanya.

AmInvestment Bank berkata pelantikan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan TM memberi beberapa jaminan terhadap kesinambungan dasar, memandangkan Imri Mokhhtar, bekas pemangku CEO kini meneruskan tanggungjawabnya sebagai ketua pegawai operasi.

“Bagaimanapun, kami berhati-hati terhadap hala tuju strategik baharu, yang mana Noor Kamarul Anuar boleh memulakan susulan prestasi pengurangan kos TM yang mengagumkan pada suku pertama tahun kewangan 2019, walaupun hanya dalam tempoh singkat di bawah pengurusan Imri,” menurutnya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini