Ambil langkah segera cegah ancaman siber - Utusan Malaysia

Ambil langkah segera cegah ancaman siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah ancaman siber dalam kadar segera dan proaktif bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Sehubungan itu, Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat lebih banyak program mewujudkan kesedaran mengenai ancaman siber perlu dianjurkan bagi memastikan orang ramai mampu mengenal pasti ancaman siber sekali gus mengelak menjadi mangsa.

Dalam masa yang sama, Lam Thye menegaskan semua pihak juga perlu memberikan komitmen untuk membantu membina dunia internet yang mempunyai nilai kemanusiaan dan selamat serta tidak dapat dieksploitasi penjenayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah segera dan proaktif diperlukan kerana Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) di bawah CyberSecurity Malaysia telah merekodkan lebih daripada 10,000 serangan keselamatan siber terhadap syarikat dan individu seluruh negara sepanjang tahun lalu.

“Sementara kerajaan membangunkan dasar, undang-undang, ekonomi dan parameter sosial untuk ruang siber bagi menangani ancaman berkaitan, semua pihak juga mesti memainkan peranan untuk menghapuskan bahan-bahan berkaitan keganasan dan ekstrem serta penipuan di internet,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Lam Thye, penubuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) pada Februari 2017 adalah tepat pada masanya kerana bertindak sebagai agensi utama bagi hal-hal keselamatan siber yang bertujuan memperkukuh daya tahan Malaysia dalam menghadapi ancaman serangan siber.

Jelas beliau, NCSA dapat membantu membangunkan dan melaksanakan dasar serta strategi keselamatan siber di peringkat nasional di samping mengambil langkah-langkah lain mengatasi ancaman siber.

“Di peringkat global, pelbagai negara sudah pun mula bertindak berikutan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand, Mac lalu.

“Eksekutif daripada syarikat terkemuka termasuk Google, Twitter, Facebook dan Microsoft juga telah bertemu dengan pemimpin Perancis, New Zealand dan beberapa negara lain untuk memperkenalkan ‘Christchurch Call’ iaitu komitmen secara sukarela untuk memantau platform dalam talian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini