‘Alhamdulilah rintihan, rayuan peneroka akhirnya didengari’ - Utusan Malaysia

‘Alhamdulilah rintihan, rayuan peneroka akhirnya didengari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Peneroka menzahirkan rasa syukur dan gembira apabila rayuan, permohonan serta rintihan mereka akhirnya didengari oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengesahkan bakal memberi bantuan khas Aidilfitri kepada mereka.

Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Izan Asmawi Habidan berkata, pemberian ‘duit raya’ itu sekali gus membantu meringankan beban para penoreh dalam menyediakan kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Katanya, pemberian RM300 itu meskipun nilainya lebih kecil berbanding tahun lalu iaitu RM450, namun sumbangan berkenaan cukup berharga buat peneroka yang ada dalam kalangan mereka masih belum mampu menyediakan kelengkapan dan baju raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengesahan kerajaan memberikan bantuan khas itu cukup menggembirakan para peneroka yang sebelum ini menanti sama ada menerima ‘duit raya’ atau sebaliknya tahun ini.

“Alhamdulilah, rintihan para peneroka akhirnya didengari oleh kerajaan, terima kasih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Hari Raya Aidifitri berjumlah RM300 setiap orang kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

Perkembangan itu sekali gus mengesahkan surat yang sudah tular dalam media sosial semalam mengenai arahan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada Felda untuk melaksanakan bayaran bantuan khas tersebut.

Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, pentadbiran PH lebih berhasrat memberi keutamaan sumber bagi menyelamatkan Felda melalui rancangan pemulihan bernilai RM6.23 bilion yang diumumkan di Parlimen pada 10 April lalu berbanding memberikan bantuan kewangan dan kebendaan.

Sementara itu, Izan Asmawi berharap penyaluran bantuan tersebut dapat disegerakan memandangkan Aidilfitri semakin hampir dengan ramai dalam kalangan peneroka masih belum menyediakan kelengkapan raya.

“Sebagai contoh, masih terdapat peneroka di sini yang mengadu masih belum membeli baju raya dan bantuan itu sekurang-kurangnya membolehkan mereka membeli baju baharu,” katanya.

OSMAN ABDULLAH
OSMAN ABDULLAH 

Dalam pada itu, antara peneroka yang sudah pastinya gembira dengan perkembangan itu adalah Osman Abdullah,66, dari Felda Chuping yang sebelum ini berharap kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri bagi membolehkan warga emas berkenaan membeli baju raya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Osman atau lebih mesra dipanggil Pak Man masih belum mampu menyediakan kelengkapan raya berikutan pendapatannya yang tidak seberapa.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini