Akar umbi seikhlas hati terima kerjasama Pas dan UMNO - Utusan Malaysia

Akar umbi seikhlas hati terima kerjasama Pas dan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Rata-rata akar umbi Pas dengan seikhlas hati menyambut baik dan menerima keputusan parti itu menjalinkan kerjasama politik secara rasmi dengan UMNO.

Bagi mereka, apa yang lebih penting melalui kerjasama serta penyatuan ummah itu adalah mengembalikan semula kuasa pemerintahan kepada Islam dan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Seorang ahli Pas dari cawangan Belat Batu, Arau, Yusof Hamid, 59, berkata, sebagai ahli yang sudah puluhan tahun bersama Pas, dia menerima dengan hati terbuka kerjasama tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, segala sengketa dengan UMNO sejak puluhan tahun lalu perlu dilupakan dengan matlamat lebih penting adalah menewaskan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

“Kita hendak penyatuan ummah dan kembalikan kuasa kepada Islam dan Melayu memerintah negara ini. Saya harap, setiap ahli Pas dan UMNO istiqamah menerima kerjasama ini.

“PRU-15, jika tidak ambil kembali kuasa, habislah Melayu dan Islam. Diharapkan kerjasama ini akan membantu ke arah kemenangan selain penyatuan orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Pahang yang berakhir semalam memuktamadkan secara rasmi kerjasama politik dengan UMNO yang sekali gus mengulangi sejarah politik pada 1978.

Parti tersebut turut menetapkan empat panduan bagi menjayakan ta’awun politik dua parti terbesar orang Melayu Islam itu yang antaranya kerjasama itu mesti saling hormat-menghormati dasar parti masing-masing.

Seorang lagi ahli Pas, Saifullah Abi Jamrah, 34, berkata, pada mulanya agak berat untuk akar umbi menerima kerjasama dua parti itu namun apa yang lebih penting adalah orang Melayu dapat bersatu.

“Sudah berapa lama kami (Pas, UMNO) bergaduh, kini sudah tiba masanya dua parti ini bersatu. Banyak hikmahnya apabila Pas dan UMNO bersatu apabila kita lihat bagaimana hubungan sesama Melayu Islam bertambah erat,” katanya.

Sharipuddin Sharol, 42, pula berkata, dia yakin kerjasama Pas dan UMNO akan menumbangkan PH dalam pilihan raya akan datang.

“Kami sudah tidak sabar menunggu pilihan raya untuk mengubah kembali kerajaan dan menyaksikan pemerintahan oleh gabungan UMNO dan Pas,” kata penyokong Pas dari Guar Sanji itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini