MARANG 1 Jun – Seramai 24 ahli jawatankuasa (AJK) Surau Haji Wan Ibrahim di Taman Kalongan Melor di sini bergotong-royong memasak dua periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada 400 penduduk di sekitar taman perumahan itu semalam.
Pengerusinya, Wan Kamaludin Wan Chik berkata, program tradisi tahunan sejak 2004 itu bertujuan merapatkan hubungan silaturahim di samping memupuk semangat kerjasama dan membantu di antara satu sama lain.
Katanya, aktiviti memasak bubur lambuk di pekarangan surau bermula selepas solat Subuh dan menjelang tengah hari kesemua 400 bekas juadah itu berjaya diagihkan kepada penduduk setempat dan kalangan anak-anak yatim berhampiran.
“Selain program memasak bubur lambuk pada hari ini (semalam) AJK surau turut menjamu hidangan moreh kepada jemaah pada setiap malam di samping menganjurkan program berbuka puasa beramai-ramai di surau bersama penduduk.
“Aktiviti sebegini akan diteruskan sebagai acara tahunan kerana dalam keghairahan mengejar ibadat di bulan puasa, kita tidak mahu mengabaikan keluarga yang kurang berkemampuan yang terpaksa berbuka puasa secara ala kadar,” katanya semalam. – UTUSAN ONLINE











