AirAsia unggul kali ke-11 - Utusan Malaysia

AirAsia unggul kali ke-11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Jun – AirAsia Bhd. sekali lagi muncul Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-11 berturut-turut pada anugerah berprestij Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2019.

AirAsia juga dinamakan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan memenangi anugerah Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tempat duduk Premium Flatbed, yang terdapat dalam pesawat berbadan lebar jarak jauh AirAsia X.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, ini satu penghormatan untuk diiktiraf oleh Skytrax bagi tahun ke-11 berturut-turut dalam komitmen kumpulan menawarkan perjalanan dengan tambang rendah dan perkhidmatan yang mengutamakan tetamu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hakikat bahawa anugerah itu berdasarkan maklum balas langsung adalah pengiktirafan menggembirakan untuk ­Allstars yang banyak berusaha dan memberi komitmen dalam kecemerlangan perkhidmatan.

“AirAsia sentiasa menjadi perintis dalam industri ini, sebagai pelopor perjalanan tambang rendah di Asia Pasifik. Hari ini, AirAsia mengendalikan rang­kaian lebih daripada 140 destinasi dari 25 hab di 22 pasaran.

“Kami telah menerima pelbagai anugerah untuk inovasi, perkhidmatan pelanggan, ke­selamatan operasi dan kecemerlangan pekerja dan tempat kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anugerah tersebut diterima hari ini di Pameran Udara Antarabangsa Paris oleh Kamarudin bersama Pengerusi AirAsia X Bhd., Tan Sri Rafidah Aziz; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Penerbangan) Air­Asia, Bo Lingam; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Nadda Buranasiri dan 11 krew kabin Allstars dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan India.

Anugerah Syarikat Penerba­ngan Dunia Skytrax merupakan penanda aras kecemerlangan global bagi syarikat penerbangan.

Keputusan tahun ini ditentukan melalui 21.65 juta kaji selidik pelanggan yang diterima daripada lebih 100 warganegara yang mengukur piawaian daripada 335 syarikat penerbangan dari Ogos 2018 sehingga Mei 2019.

Sementara itu, Rafidah berkata, pihaknya sekali lagi terus diiktiraf dalam menyediakan Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia dalam penerbangan jarak jauh.

Jelas beliau, kecemerla­ngan ini mewakili sembilan tahun menjadi yang terbaik di dunia dalam kategori itu dan didedikasikan kepada Allstars yang berpegang teguh kepada ­budaya korporat, misi dan visi kumpulan.

“Tahun ini, kami akan pergi lebih jauh dengan menawarkan keselesaan terbaik dalam pesawat Airbus A330neo baharu yang akan mengubah pengalaman perjalanan jarak jauh.

“Diharap dengan perkhidmatan dalam penerbangan kami yang cukup dikenali sebagai syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X akan terus berusaha memberi perkhidmatan yang berbaloi kepada tetamu kami ke-30 destinasi di 10 pasaran di seluruh rangkaian jarak jauh Kumpulan AirAsia,” katanya.

Bagi meraikan kemenangan ini, AirAsia akan melanjutkan jualan besar-besaran AirAsia sehingga Ahad, 23 Jun 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini