Ainul Mardiah dah boleh senyum - Utusan Malaysia

Ainul Mardiah dah boleh senyum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ainul Mardiah Ahmad Safiuddin, bayi berusia sembilan bulan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumour’ telah selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di London pada Selasa lalu.

Satu rakaman video berdurasi 39 saat yang dimuat naik oleh bapa Ainul Mardiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, menerusi akaun Facebooknya menunjukkan bayi itu telah sedar daripada menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram di mulutnya semalam dan mula berinteraksi dengan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24.

Rakaman tersebut turut menyentuh hati ramai pihak yang menonton video tersebut dengan ada yang menyatakan sebak dan sedih melihat telatah bayi itu yang seolah-olah cuba belajar untuk bercakap selepas tiada lagi tumor di bahagian mulutnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebaknya, dia dah pandai sembang-sembang, Alhamdulillah, semoga Allah angkat semua kesakitan dan kesulitanmu anak,” kata seorang pengguna Facebook, Wawa Izarra Jazmeen.

Seorang lagi pengguna Facebook, Siti Zurainie Mohd. Zain pula menulis; “Tetiba je air mata ni me­ngalir laju, naluri seorang ibu, sayang Ainul.

Sementara itu, Ahmad Safiuddin memaklumkan anaknya telah sedar selepas menjalani pembedahan tersebut yang berlangsung selama lima jam, namun masih memerlukan penjagaan rapi.

“Ainul sudah sedar, Alhamdulillah. Cuma dia masih dalam unit penja­gaan rapi untuk memastikan Ainul betul-betul stabil sebelum dipindahkan semula ke dalam wad biasa.

“Teruskan berdoa agar Ainul kuat dan cepat sihat ya,” tulis Safiuddin menerusi akaun Facebook­nya.

Dalam pada itu, doktor pakar pelatih surgikal, Dr. Nur Amalina Che Bakri, yang memulakan inisiatif sehingga berjaya membawa Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ke London turut melahirkan rasa syu­kur selepas pembedahan membuang tumor pada mulut bayi berkenaan berjalan lancar selepas bertarung selama lima jam dalam dewan bedah.

“Alhamdulillah, Ainul, awak seorang bayi yang kuat! Anda tidak dapat bayangkan betapa cemasnya saya, ketika berada di dewan bedah. Bayi kecil itu, begitu lembut, dan cantik. Jangan bimbang, semua orang ada di sini ingin membantu anda,” katanya menerusi akaun Instagramnya.

Terdahulu, Amalina yang berpangkalan di Britain menghubungi ibu bayi berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum keluarga berkenaan dan sekumpulan pakar bius dari Malaysia tiba di London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan dan rawatan.

Pembedahan itu dijalankan oleh sepasukan doktor pakar diketuai Profesor David Dunaway dan Dr. Juling Ong pada Selasa lalu.

Ekoran kejayaan pembedahan tersebut juga, nama Nur Amalina kini menjadi trending di media sosial dengan namanya menduduki tempat kelapan antara tweet paling tinggi di Twitter, menerima kira-kira 44,500 tweet setakat pukul 1 tengah hari semalam.

Para pengguna Twitter turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepadanya atas kejayaan pembedahan itu dan bantuan yang dihulurkannya bagi membolehkan Ainul Mardhiah dibawa ke London bersama kedua-dua ibu bapanya untuk menjalani pembedahan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini