HEBRON – Penguatkuasa Palestin membebaskan seorang ahli perniagaan yang sebelum ini ditahan kerana menghadiri persidangan anjuran Amerika Syarikat (AS) di Bahrain.
Salah Abu Mayala, 70, ditahan semalam dan dibebaskan pada hari yang sama selepas hadir ke persidangan yang diboikot kerajaan Palestin itu.
Keluarganya ketika dihubungi AFP enggan mengulas berkenaan hal tersebut namun sumber terdekat memberitahu Salah kini sudah berada di rumahnya.
Penguatkuasa Palestin telah memberi peringatan akan menahan mana-mana warga negara itu yang terlibat dalam persidangan berkenaan.
Selain Salah, dua lagi warga Palestin dikenalpasti hadir ke persidangan tersebut.
Penasihat Presiden AS Donald Trump, Jason Greenblatt berkata pihak pentadbiran Trump ‘lega’ dengan pembebasan Salah.
Katanya, pihaknya berhasrat untuk meneruskan rundingan dengan mereka yang hadir ke persidangan itu dan mereka yang ingin melihat masa depan lebih baik buat penduduk Palestin.- AFP











