MELAKA – Sebanyak 80 peratus atau 116 hospital kerajaan di seluruh negara telah dilengkapi pasukan khas penjagaan luka termasuk doktor pakar bagi menyediakan rawatan lebih komprehensif kepada pesakit berkaitan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, daripada jumlah itu, 48 daripada merupakan hospital pakar kerajaan menjadikan kesemua hospital pakar milik Kementerian Kesihatan kini dilengkapi pasukan tersebut.
Menurutnya, kementerian meletakkan sasaran untuk memastikan baki sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan 145 hospital kerajaan di seluruh negara dilengkapi pasukan khas yang sama menjelang tahun 2023.
“Sehingga kini, 20 peratus hospital kerajaan yang masih belum mempunyai pasukan khas penjagaan luka itu disebabkan ketiadaan doktor pakar di hospital berkenaan.
“Bagaimanapun, kementerian sedang berusaha ke arah itu bagi memastikan sasaran 100 peratus hospital kerajaan dilengkapi pasukan khas berkenaan dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Luka Kebangsaan Kali Kelima di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, Normala Basiron dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rushidi Ramly. – UTUSAN ONLINE











