TEMERLOH – Seramai lapan pelajar Orang Asli cedera termasuk seorang parah selepas bas sekolah yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung di jalan utama Kampung Penderas -Kuala Krau di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku apabila bas yang mengalami masalah teknikal berkenaan mengundur ke belakang dan terbalik sebelum menggelongsor ke dalam gaung.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner, Zundin Mahmood berkata, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah masing-masing di Kampung Pian di Kuala Krau dekat sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa sedang menaiki kawasan jalan bukit tiba-tiba bas yang dipandu mengalami masalah teknikal dan mengundur ke belakang lalu terbalik serta menggelongsor ke dalam gaung.
“Kejadian itu mengakibatkan seorang penumpang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki, seorang patah tangan kiri manakala penumpang lain mengalami kecederaan ringan,” katanya hari ini.
Menurut Zundin, mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh manakala yang cedera ringan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Krau. – UTUSAN ONLINE











