IPOH – Kira-kira 7,000 peserta menyertai program Hari Bebas Kenderaan Ipoh 2019 yang diadakan di Jalan Raja DiHilir di sini hari ini.
Program selama tiga jam yang bermula pukul 7 pagi itu merupakan penganjuran kali ke-41 sejak diadakan pada Oktober 2015.
Setiausaha Bandaraya, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, penganjuran berkenaan bertujuan untuk mencapai objektif menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar rendah karbon.
Menurut beliau, selain itu ia juga untuk meningkatkan indeks kebahagiaan dalam kalangan warga bandar ini dengan memupuk kesedaran alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan.
“Menariknya, program kali ini bertemakan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 sempena meraikan lebaran.
“Orang ramai yang hadir juga diminta datang berpakaian baju raya bagi mewujudkan kemeriahan,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 200 peserta Kelab Speda Klasik Kinta yang menyertai Kayuhan Eid Mubarak 2019 telah dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam N
negeri, Yong Choo Kiong.
Turut diadakan ialah acara senamrobik, pameran kesedaran alam sekitar dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital KPJ.
Program ini turut dihadiri Ahli-Ahli Majlis dan ketua-ketua jabatan MBI. – UTUSAN ONLINE











