MELAKA – Kerajaan negeri menerusi Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka (SCAC) mencadangkan lima teras utama yang akan dilaksanakan bagi menjadikan Melaka sebagai sebuah bandar pintar menjelang tahun 2030.
Pengerusi Melaka SCAC, Khoo Poay Tiong berkata lima teras itu adalah Mobiliti Pintar; Alam Sekitar Pintar dan Sumber Tenaga; Kehidupan Pintar; Tadbir Urus Pintar serta Ekonomi Pintar dirancang pihaknya sebagai salah satu agenda sejak SCAC diwujudkan pada November lalu.
“SCAC telah merangka sebanyak 28 strategi dan 78 pelan tindakan yang akan dilaksanakan oleh 39 agensi daripada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan anak-anak syarikat mereka.
“Sebagai sebuah majlis penasihat, SCAC akan memberi cadangan kepada kerajaan negeri supaya penambahbaikan dibuat menggunakan kemudahan sedia ada agar Melaka bakal menjadi sebuah bandar pintar tanpa memerlukan kos yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Mohd. Syukree Aziz dan Naib Pengerusi Melaka SCAC, Paul Lim Pay Chuan.
Melaka SCAC merupakan sebuah majlis penasihat sukarela yang ditubuhkan kerajaan negeri menerusi UPEN Melaka bertujuan merealisasikan hasrat menjadikan Melaka sebagai sebuah bandar pintar.
Mengulas lanjut, Poay Tiong berkata, setakat ini, Melaka SCAC telah melaksanakan penilaian terhadap lapan projek sedia ada dan menyemak serta memperakukan 48 kertas cadangan yang diterima daripada pemain industri.
Katanya, dua aspek utama yang akan diberi tumpuan pihaknya sebagai langkah permulaan adalah mengadaptasikan konsep pintar dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas dan bencana banjir di negeri ini. – UTUSAN ONLINE











