PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya mematahkan kegiatan menyeludup rokok putih di lokasi 185 meter dari Pantai Geting, Tumpat, semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi di kawasan berdekatan menerima maklumat intipan sebuah bot dalam keadaan yang mencurigakan.
Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi bot terbabit sedang menuju ke kuala sebelum dikejar bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas.
“Suspek yang dipercayai dari negara jiran berjaya meloloskan diri di sekitar pesisir pantai berkenaan. Selepas melakukan pemeriksaan, krew bot peronda Maritim Malaysia menemui sebuah lori berwarna putih tanpa pemandu bersama muatan rokok putih berjenama U2 berjumlah 400,000 batang yang disyaki tidak bercukai.
“Kita percaya rokok yang cuba diseludup masuk ke negara ini bakal dipasarkan ke beberapa negeri iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Rokok jenama ini tidak dijual di pasaran Pantai Timur,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ismail berkata, rampasan rokok putih dan sebuah lori dianggarkan bernilai RM318,640 termasuk cukai itu dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali dan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Menurutnya, penyeludup sering menukar taktik penyeludupan bagi mengaburi mata pihak berkuasa termasuk menggunakan khidmat individu warga asing untuk membawa rokok seludup menerusi jalan laut.
“Ini merupakan kejayaan kedua Maritim Malaysia Kelantan bagi tahun ini mengekang jenayah penyeludupan rokok dan sangat mengalu-alukan maklumat awam berkaitan kegiatan jenayah di laut menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kelantan di talian 09-7780070. – K! ONLINE











