KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 wakil daripada 15 organisasi dan syarikat Malaysia sedang menyertai Pameran Udara Paris Antarabangsa (IPAS) 2019.
Penyertaan tersebut merupakan antara strategi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk memperluas kedudukan firma aeroangkasa Malaysia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking mengetuai delegasi Malaysia tersebut ke acara edisi ke-53 itu yang bermula semalam sehingga 23 Jun di Le Bourget, Perancis.
“Pada masa ini, Asia Tenggara memiliki industri aeroangkasa yang dinamik dan Malaysia berkedudukan baik untuk memanfaatkan perkembangan ini.
“Malaysia kini menempatkan lebih 230 syarikat aeroangkasa dan jumlah itu semakin meningkat. Ini menjadi pemangkin untuk merancakkan ekosistem tempatan dan permintaan dunia yang ketara terhadap produk atau perkhidmatan Malaysia yang sekali gus membolehkan pertumbuhan syarikat Malaysia dipercepatkan,” kata Darell dalam kenyataan hari ini.
Penyertaan itu bertujuan meneroka peluang perkongsian bagi firma Malaysia dengan pembekal antarabangsa peringkat 1 dan peringkat 2 serta pembuat peralatan tulen (OEM) dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa.
Antara bidang tumpuan adalah pembuatan peralatan dan komponen jitu, perkhidmatan kejuruteraan serta perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih.
Tahun lepas, eksport peralatan dan komponen aeroangkasa Malaysia mencatatkan peningkatan 20.7 peratus kepada RM8.48 bilion manakala import bernilai M15.91 bilion atau kenaikan 26.2 peratus. – BERNAMA











