KLANG – Lebih 40 peratus kawasan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, sejak Khamis lalu sudah dipadamkan.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, sehingga pukul 2 petang tadi, anggota bomba masih menjalankan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran seluas 1.2 hektar itu.
Menurutnya, kerja-kerja pemadaman menghadapi sedikit kesukaran berikutan timbunan sampah yang sangat dalam iaitu sekitar 2.4 meter dan berada di kawasan paya bakau.
“Timbunan sampah ini terlalu dalam dan kita terpaksa menggunakan jengkaut untuk menggali punca api di bawah timbunan tersebut agar ia dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Oleh itu, kita jangkakan kira-kira 20 peratus lagi kebakaran berjaya dipadamkan di kawasan seluas 1.2 hektar itu. Operasi ini dijangka diselesaikan dalam tempoh dua hari lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menambah jumlah anggota bagi operasi itu selain menambah pam angkut bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman.
“Operasi pada hari ini dibantu oleh anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Kapar, Shah Alam dan Pelabuhan Klang bersama jentera masing-masing.
“Selain bomba, operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia, skuad PANTAS Majlis Perbandaran Klang (MPK),”ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, kebakaran tapak perlupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar.
Kebakaran itu mula dikesan pukul 8 pagi Khamis lalu dipercayai dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab.
Difahamkan, tanah tersebut adalah milik persendirian dan telah dijadikan tapak pelupusan sampah bagi bahan kitar semula dan penebat wayar yang dikisar. – K! ONLINE










