SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah menyekat tiga buah kontena mengandungi 1,440 kilogram durian segar untuk dieksport ke China kerana tidak mematuhi syarat eksport.
Pengarah MAQIS negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, sekatan terhadap kontena itu dibuat di Kawasan Pemeriksaan Kastam Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 5 petang kelmarin.
Jelasnya, pegawai MAQIS telah memeriksa tiga buah kontena durian seberat 1,440 kilogram yang dimuatkan dalam 120 kotak, dan hasil pemeriksaan mendapati, suhu tempat penyimpanan durian pada ketiga-tiga kontena tersebut terlalu tinggi sehingga boleh menjejaskan kualiti buah, dan suhu di dalam kontena tidak mengikut syarat eksport ditetapkan.
“Antara syarat mengeksport buah durian segar ke negara China ialah, buah durian harus disejuk beku pada suhu -30 celsius selama 30 minit, disimpan dan dieksport pada suhu -18 celsius hingga -25 celsius sehingga sampai ke destinasi.
“Ia sudah termaktub di dalam peraturan untuk persetujuan pihak China sebelum pengeksportan boleh dimulakan.
“Selain itu, bagi dokumen penting yang diperlukan untuk mengeksport buah durian ke negara China adalah permit eksport daripada MAQIS, Sijil Fitosanitasi daripada Jabatan Pertanian dan Sijil Pematuhan 3P (GPL) daripada Lambaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tarmisal berkata, pengeksport haruslah mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dalam memastikan produk pertanian Malaysia yang dieksport adalah selamat dan mempunyai kualiti yang tinggi.
Pada 17 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub telah melancarkan pengeksportan sulung raja buah itu ke China.
Salahuddin berkata, kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji (whole fruit) telah diberikan kepada kumpulan pertama iaitu lima buah syarikat yang telah memenuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat.
Pihaknya menjangka kira-kira 1,000 tan metrik durian varieti primier seperti Musang King (D197) dan Black Thorn atau Duri Hitam (D200) akan dieksport ke negara itu sebulan dengan nilaian kepada sumbangan eksport negara dijangka kira-kira RM500 juta setahun. – UTUSAN ONLINE











