PUTRAJAYA – Sebanyak 29 mangsa disahkan sehingga kini telah mendapatkan rawatan susulan mengalami gejala sesak nafas yang dipercayai terhidu udara tercemar di Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, mereka membabitkan 16 orang dari Sekolah Agama Taman Mawar termasuk 14 pelajar manakala 13 mangsa lagi adalah pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang.
“Seramai 14 mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 orang lagi diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru di mana enam daripadanya telah dimasukkan ke wad.
“Keadaan kesemua pesakit adalah stabil dan tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) serta tiada kematian direkodkan berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Noor Hisham, Jabatan Kesihatan Negeri Johor semalam telah melaporkan satu kejadian para pelajar sekolah mengalami gejala sesak nafas di Sekolah Agama Taman Mawar selepas menerima satu panggilan kecemasan pukul 3 petang.
Katanya, pasukan bantuan kecemasan dari Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang telah digerakkan untuk memberi bantuan.
“Operasi bantuan rawatan kecemasan tamat pada pukul 8 malam tadi dan punca kejadian masih belum dapat dikenalpasti,” katanya.
Ujar Noor Hisham, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lokasi lapangan berikutan kejadian berkenaan dan oleh demikian, orang ramai adalah dinasihatkan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.
“Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pada pagi ini bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan daripada kejadian berkenaan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.- UTUSAN ONLINE











