IPOH – Seramai 20 peserta yang merupakan golongan asnaf menamatkan kursus Keusahawanan Salon dan Spa Muslimah anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini.
Kursus selama dua bulan ini dikelolakan oleh Humaira Salon & Spa (Humaira) di Taman Perpaduan, Ulu Kinta di sini menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Prosper A).
Penasihat latihan, Harisun Kassim berkata, program ini bagi melatih para peserta tentang asas untuk menceburi bidang keusahawanan kecantikan dan penjagaan diri.
Beliau yang juga Pengarah Humaira memberitahu, sepanjang kursus para peserta dibimbing termasuk didedahkan tentang penggunaan internet serta kemahiran pemasaran digital sejajar dengan keperluan semasa.
“Para peserta yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun ini dipilih oleh pihak MAIPk dari seluruh Perak untuk diberi bimbingan oleh pihak Humaira selaku mentor.
“Sepanjang latihan para peserta disediakan tempat tinggal selain diberi elaun. Kita juga akan memantau progres peserta selepas ini sehinggalah mereka berjaya membuka perniagaan sendiri,” ujarnya.
Terdahulu, majlis penutupan kursus dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi.
Setiap peserta juga layak menerima geran daripada MAIPk bernilai RM5,000 dalam bentuk peralatan bagi memulakan perniagaan salon dan spa.
Sementara itu, Nomee berharap agar para peserta dapat memanfaatkan latihan yang diikuti sekali gus memajukan diri untuk keluar daripada garisan kemiskinan.
“Program Prosper A yang dilaksanakan sejak 2014 meliputi pelbagai bidang keusahawanan dengan objektif melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan asnaf.
“Inisiatif MAIPk ini antara usaha membantu memajukan ekonomi masyarakat Islam termasuklah golongan wanita agar sama-sama dapat meneroka potensi diri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











