KUALA LUMPUR – Sebanyak 160 sindiket perjudian dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang aktif beroperasi di seluruh negara.
Kesemua sindiket terbabit dipercayai aktif di empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, aktiviti perjudian yang tertinggi dikesan iaitu melibatkan loteri awam apabila 120 sindiket dikesan melakukan kegiatan itu.
Ujarnya, selain itu, sebanyak 37 lagi sindiket dipercayai terlibat dalam judi atas talian diikuti lain-lain judi (3).
“Susulan itu, pihak kita telah menjalankan sebanyak 8775 serbuan sejak awal tahun ini sehingga 22 Jun lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 14,759 individu telah ditahan membabitkan rampasan wang tunai sebanyak RM3.8 juta dan 10,361 peralatan
perjudian,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Huzir memberitahu, bagi mengekang aktiviti perjudian secara menyeluruh dan berkesan, sebanyak 92 penganjur perjudian telah ditahan di seluruh negara sejak awal tahun sehingga Jun ini.
Jelasnya, selain penganjur, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik dan penyewa yang bertanggungjawab mengubah suai premis mereka untuk dijadikan aktiviti perjudian.
“Mana-mana individu yang didapati terlibat kita akan ambil tindakan mengikut Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.
“Selain itu, kita juga akan melakukan pemotongan utiliti dan sekatan laman web dengan melakukan kerjasama bersama agensi lain termasuk meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat sebanyak 1,270 laman web yang dikesan mempromosikan aktiviti perjudian,” katanya.-UTUSAN ONLINE











