KUALA LUMPUR – Sejumlah 16 lokasi tanah milik Kementerian Pertahanan di lapan buah negeri telah dikenalpasti terlibat dengan aktiviti pencerobohan sehingga Mei lalu.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memberitahu, semua tanah milik kementerian itu telah diceroboh untuk pelbagai aktiviti termasuk pertanian, pembinaan struktur, pembinaan rumah setinggan dan rumah ibadat serta pembalakan haram.
Jelas kementerian itu, beberapa tindakan susulan telah diambil seperti mengemukakan permohonan melaksanakan penguatkuasaan kepada Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negara di samping mengeluarkan notis pengosongan tapak kepada penceroboh.
Katanya, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengambil inisiatif mengeluarkan arahan pengawasan dan kawalan ke atas pencerobohan tanah-tanah milik Kerajaan Persekutuan kegunaan ATM.
“Seperti sedia maklum, semua tanah yang berkeluasan keseluruhan kira-kira 471,836 hektar sedang diduduki oleh ATM sebagai tapak-tapak kem tentera, tapak lapang sasar serta kawasan perumahan ATM.
“Implikasi yang wujud sekiranya aktiviti pencerobohan ini terus berlaku dan tidak terkawal termasuk kerugian kepada kerajaan kerana tanah telah diduduki secara haram dan mendatangkan isu keselamatan terutama kepada penceroboh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











