JASIN – Kementerian Industri Utama melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 150 hektar kawasan di sekitar Melaka yang berpotensi untuk dibangunkan dengan tanaman kenaf.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, keluasan kawasan tersebut dijangka berupaya menghasilkan sehingga 1,000 tan kenaf bagi satu musim tuaian selain memberi peluang kepada lebih ramai pekebun kecil bergiat dalam industri berkenaan.
Menurutnya, Melaka meletakkan cita-cita dan sasaran untuk menjadi pengeluar kenaf terbesar negara memandangkan potensi besar dimiliki tanaman tersebut selain tanah yang subur bagi tanaman kenaf di negeri ini.
“Jumlah keluasan tanaman kenaf di dijangka meningkat memandangkan LKTN telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 150 hektar kawasan di sekitar Melaka yang berpotensi namun ia akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan semasa.
“Selain kawasan, kementerian juga telah kenal pasti beberapa syarikat yang bersedia bekerjasama dalam mengembangkan industri kenaf di Melaka memandangkan terdapat permintaan memberangsangkan dalam industri biokomposit dan pembinaan serta beberapa produk lain,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Industri Kenaf Rakan Rakyat (Ikrar) di Kampung Sempang Pantai, Merlimau di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi LKTN, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor.
Shamsul Iskandar berkata, selaras tumpuan kementerian utuk meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran, usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam dapat digunakan secara meluas.
“Kementerian bersama LKTN akan terus memastikan program berkaitan dengan pembangunan industri kenaf seperti Ikrar diperluas kerana ia penting agar industri ini dapat dibangunkan sebagai salah satu agrikomoditi bagi menjana pendapatan serta manfaat kepada rakyat dan negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











