15 positif, Jabatan Kesihatan Kedah sahkan berlaku wabak Chikungunya - Utusan Malaysia

15 positif, Jabatan Kesihatan Kedah sahkan berlaku wabak Chikungunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan negeri mengesahkan daerah ini sedang mengalami wabak Chikungunya apabila seramai 15 orang telah disahkan positif penyakit itu berdasarkan hasil ujian makmal, semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, kesemua mereka adalah daripada 23 orang yang diperiksa kerana disyaki mengalami simptom penyakit berkenaan seperti demam, sakit sendi yang teruk dan ruam, sejak 9 Jun lalu.

Katanya, mereka yang terlibat sebelum ini telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sekitar pusat bandar ini dan keadaan adalah stabil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan keputusan ujian makmal yang diperoleh ini, maka (Jabatan Kesihatan negeri) mengesahkan berlakunya wabak Chikungunya. Hasil ujian darah mendapati 15 orang itu disahkan positif Chikungunya manakala negatif untuk demam denggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Kesihatan negeri memaklumkan seramai 14 penduduk di deretan rumah kedai berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini, disyaki menghidap penyakit Chikungunya selepas mengalami demam, sakit sendi dan ruam sejak 9 Jun lalu sebelum jumlah itu meningkat kepada 23 orang.

Menurut Dr. Norhizan, aktiviti kawalan vektor telah dijalankan dengan melakukan pemeriksaan terhadap sebanyak 342 buah premis di kawasan yang terlibat di pusat bandar ini dan hasilnya mendapati 16 daripada premis terbabit positif pembiakan.

Katanya, berikutan itu, sebanyak 10 buah premis telah dikeluarkan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975).

“Aktiviti semburan kabus juga telah dijalankan dalam sekitar 200 meter dari kawasan terlibat,” kata beliau lagi.

Tambah Dr. Norhizan, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah dan sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan menerusi pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terlibat dan mempromosi kesihatan kepada penduduk setempat.

“Antaranya meminta penduduk mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda demam, sakit sendi teruk dan ruam, melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kediaman dan premis perniagaan.

“Selain itu, memaklumkan kepada hospital dan klinik swasta untuk melaporkan kes-kes yang mempunyai tanda dan gejala berkenaan kepada Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya lagi.

Untuk rekod, penyakit Chikungunya adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu nyamuk yang sama menyebarkan penyakit denggi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini