JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan seramai 15 lelaki tempatan menerusi Ops Pintas Selatan yang dijalankan bagi mengesan dan menangkap individu atau kumpulan yang menjalankan aktiviti penyeludupan migran bermula 13 Mei sehingga hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 65 tahun terdiri daripada tekong darat, tekong laut, penjaga rumah penampungan, penyedia pengangkutan dan yang menjaga kawasan laut.
Menurutnya, dalam tempoh operasi yang dijalankan dengan pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), sebanyak 24 sekatan jalan raya di seluruh negeri ini dijalankan dengan sebanyak 700 kenderaan dan seramai 1,074 orang diperiksa.
Berita berkaitan:
“Siasatan sedang dijalankan sama ada semua mereka terlibat dalam sindiket yang sama atau tidak, bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati, mereka mengenali antara satu sama lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner, Md. Yusof Ahmad.
Mohd. Khalil berkata, dengan tertangkapnya individu tersebut, beliau percaya pihaknya berjaya menyekat aktiviti berkenaan daripada jaringan sindiket yang lebih besar sekali gus tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mereka yang menjalankan kegiatan itu.
“Kes itu ditahan mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 26C Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Operasi Khas Pemutihan yang dijalankan bertujuan membersihkan negeri ini daripada masalah penagihan dadah, jenayah ragut, gelandangan dan gejala sosial bermula 1 Januari hingga 15 Jun lalu berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 315 kes berbanding tempoh sama 2018.
Tambahnya, faktor penyumbang utama penurunan kadar jenayah itu ialah dengan tertangkapnya seramai 921 orang termasuk 514 penagih dadah selain rampasan 3,578.79 gram pelbagai jenis dadah dengan nilai dianggarkan RM29,207. – UTUSAN ONLINE











