IPOH 24 Jun – Jabatan Siasatan Jenayah negeri telah mengadakan 124 serbuan melibatkan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan seluruh daerah di negeri ini selari dengan arahan Ketua Polis Negara bagi membendung kegiatan perjudian.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, dalam serbuan yang dilakukan antara 17 hingga 23 Jun lalu, sebanyak 150 individu telah ditahan melibatkan rampasan wang sebanyak RM30,946.
Beliau berkata, tindakan juga diambil melibatkan beberapa jenis judi lain iaitu 79 serbuan membabitkan judi ekor haram, judi online atau mesin (28), bookie kuda (16) dan judi dalam bangunan (1).
“IPK Perak akan sentiasa meneruskan pemantauan kegiatan perjudian di Pusat Hiburan Keluarga atau premis-premis menjalankan judi online menggunakan komputer dan komputer riba di Perak.
“Tindakan berterusan juga akan turut diambil sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kegiatan ini sama ada di dalam premis mahupun di tempat bebas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, dari tempoh 1 Januari sehingga 23 Jun 2019, jumlah jenayah indeks yang dicatatkan adalah sebanyak 2,366 kes.
Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 79 kes berbanding tahun 2018 yang mencatatkan keseluruhan 2,445 kes. – UTUSAN ONLINE











