KUALA LUMPUR 23 Mei – Penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 27 Mei ini.
Penjaga gol berusia 24 tahun itu, dipanggil menyertai kem latihan sebagai persediaan menghadapi Pusingan Pertama kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui laman Facebook berkata jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe memanggil Zarif Irfan bagi menggantikan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang mengalami kecederaan.
Malaysia akan berdepan Timor Leste pada 7 Jun, manakala aksi timbal balik pada 11 Jun. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8.45 malam.
Sebelum itu, skuad bimbingan Cheng Hoe akan melalui satu aksi persahabatan menentang Nepal pada 2 Jun juga di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jika berjaya mengatasi Timor-Leste, skuad Harimau Malaya akan layak ke Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia, yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan) dan akan berlangsung selama sembilan bulan untuk 10 hari perlawanan dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020. – BERNAMA











