KUALA LUMPUR 20 Mei – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan meneroka penjualan jongkong emas yang memaparkan wajah wira-wira silam emas sukan negara bagi mengukuhkan dana mereka sekali gus mengurangkan pergantungan kepada bantuan kewangan kerajaan.
Pengurus Operas Yakeb, Aminuddin Mohd. Nasir berkata, strategi baharu itu juga diyakini lebih berkesan dalam memastikan jasa dan pengorbanan bekas-bekas atlet negara sentiasa segar dalam ingatan dan dihargai masyarakat.
“Setiap tahun kami perlukan RM1.57 juta bagi membantu bekas-bekas atlet negara terutama dalam membiayai kos perubatan yang memang tinggi.
“Awal tahun ini alhamdulillah kami dapat RM3 juta daripada kerajaan tetapi tidak boleh hanya terlalu bergantung kepada sumber itu.
“Jadi penjualan jongkong emas ini juga dapat meringankan beban kewangan bekas atlet negara yang pada usia lanjut mereka memang mudah ditimpa masalah kesihatan,” katanya.
Beliau ditemukan pada majlis berbuka puasa bersama bekas-bekas atlet negara dan anak-anak yatim dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 2, Kuala Lumpur anjuran TV3 di sini.
Antara bekas atlet negara yang hadir diraikan ialah Rameli Manap, Darus Abdullah, Muhammad Koh (angkat berat), Ishak Alwi, Yusof Udin, Sophadi Shukri (berbasikal) dan Ahmad Amil Husin (boling).
Menurut Aminuddin, Yakeb kini turut mendapat kerjasama Persatuan Restoran India Muslim Malaysia (Pesmal) yang membenarkan tabung untuk membantu bekas atlet negara diletakkan di premis-premis perniagaan ahli-ahli persatuan itu.
“Yakeb juga berhasrat untuk meminta bantuan pengusaha stesen minyak agar turut memberi ruang di situ untuk meletak tabung tersebut dalam menerima sumbangan masyarakat,” katanya.
Pengarang Berita Sukan TV3, Abdullah Sani menyeru masyarakat dan sektor korporat tampil membantu bekas-bekas atlet negara ini yang banyak berjasa kepada negara terutama ketika mereka menghadapi saat-saat sukar dalam menjalani kehidupan harian.
“Kita menghargai jasa mereka bukan sahaja ketika zaman kegemilangan malah ketika mereka menghadapi detik kesukaran seperti ditimpa penyakit, sokongan kita mampu menyuntik semangat mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Majlis berbuka puasa ini merupakan yang ketiga anjuran TV3 selepas program bersama pesakit-pesakit Institut Jantung Negara dan akan diteruskan dengan lawatan terhadap keluarga bekas pemain bola sepak negara, Allahyarham Anuar Abu Bakar pada 27 Mei ini. – UTUSAN ONLINE











