KUALA LUMPUR 23 Mei- Tangan pekerja binaan warga Bangladesh yang terperangkap dalam runtuhan struktur bangunan di tapak pembinaan Terminal Bas Bersepadu Gombak di sini terpaksa dipotong bagi dikeluarkan dari sisa runtuhan.
Mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu diselamatkan enam jam selepas kejadian runtuhan tersebut apabila pasukan penyelamat dan pegawai perubatan memutuskan untuk memotong sedikit tangannya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya dan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan terpaksa menggunakan pelbagai jenis peralatan bantuan penyelamat serta alat pemotong besi dan logam bagi membawa keluar mangsa.
Beliau berkata, bagaimanapun, selepas sebahagian badannya berjaya dibawa keluar, pihaknya mendapati sebahagian tangan mangsa hancur serta terpaksa dipotong bagi mengeluarkannya.
“Tindakan memotong sebahagian tangan mangsa juga diperoleh daripada nasihat doktor dan pegawai perubatan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
“Semasa kejadian, kesemua mangsa berada di tingkat bawah tapak pembinaan bangunan lima tingkat itu yang juga merupakan tempat tinggal semua pekerja,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











