TUMPAT 3 Mei – Seorang wanita bukan sahaja cedera pada bahagian tangan, kepala dan muka, malah kerugian RM1,700 selepas wang tunai dan rantai emas miliknya disamun dalam kejadian di Kampung Pauh Sebanjar, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu, mangsa berusia 22 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bendang Pak Yong dengan menunggang sebuah motosikal.
Difahamkan, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki mendekatinya dari arah belakang dengan salah seorang suspek bertindak menarik beg tangannya yang berada dalam raga sebelum menolak mangsa sehingga terjatuh dari motosikal.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai menunggang motosikal bersendirian.
“Suspek bertindak menolak mangsa yang menaiki motosikal Honda Dash sehingga menyebabkan dia hilang kawalan dan terjatuh di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











