JOHOR BAHRU 16 Mei – Dewan Muda Johor (DMJ) berharap wakil belia yang akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara kelak bukan mewakili mana-mana parti politik yang akhirnya dikhuatiri akan menyebabkan pelantikan itu bersifat kosmetik.
Menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pelantikan itu, DMJ juga berharap belia yang dilantik merupakan calon berkelayakan daripada sudut akademik dan pencapaian sebagai belia aktif selain perlu tahu selok belok pembangunan belia di negara ini.
“Hal itu penting untuk mengelakkan isu belia ini dipolitikkan dan akhirnya pembangunan belia akan terabai dan DMJ juga mahu menekankan bahawa peri pentingnya mempunyai polisi belia bersifat konsisten dan tidak akan diganggu gugat walaupun berlakunya pertukaran kerajaan yang memerintah,” menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.
DMJ juga berpendapat pelantikan tersebut adalah usaha yang tepat memandangkan suara anak muda perlu diangkat diperingkat tertinggi iaitu di Parlimen sebagai entiti yang menggubal undang-undang negara.
Selain itu, menurut DMJ, di samping wakil belia yang akan dilantik, Ahli Parlimen di Dewan Rakyat juga perlu bersifat pro dan mesra belia.
“Mungkin di masa hadapan, parti-parti politik perlu memikirkan cara dan kaedah bagi golongan Ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui pilihan raya akan menampilkan lebih ramai anak muda di bawah usia 40 tahun supaya polisi yang dibawa akan benar-benar mewakili denyut nadi dan hasrat anak muda,” menurut DMJ menerusi kenyataan itu.
Sehubungan itu, DMJ berharap dengan pelantikan wakil belia sebagai Ahli Dewan Negara itu merupakan langkah awal dan titik permulaan kepada era kebangkitan belia di Malaysia dalam menegakkan idealisme perjuangan anak muda. – UTUSAN ONLINE











