KOTA BHARU 24 Mei – UMNO dan Pas akan memperkukuhkan lagi kerjasama secara rasmi melalui satu piagam yang akan dimeterai selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti tersebut sedang dalam proses penilitian terakhir piagam tersebut.
Beliau bagaimanapun menegaskan kerjasama rasmi tersebut masih belum mencapai tahap pembentukan gabungan baharu parti-parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Sekarang ‘taawun’, kita kena secara berperingkat-peringkat. Mula-mula kerjasama tak bertulis, kemudian datang tiga empat pilihan raya kita nampak (kerjasama) berjalan dengan baik.
“Jadi sekarang pimpinan UMNO dan Pas merasakan elok dibuat secara lebih rasmi.
“Jadi presiden kedua-dua parti minta ditubuhkan jawatankuasa induk untuk bekerjasama dan membentuk jawatankuasa teknikal yang diketuai oleh saya dan Setiausaha Agung Pas telah buat pengesyoran draf satu bentuk piagam bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Pemuda dan Puteri Cakna Asnaf peringkat Parlimen Ketereh di sini, hari ini.
Annuar berkata, kerjasama di antara UMNO dan Pas akan lebih teratur di semua peringkat parti bermula dari Pusat sehingga ke bahagian dengan adanya ‘taawun’ secara bertulis.
“Dalam dokumen itu, yang agak panjang bersama satu piagam. Ini untuk memberi gambaran bahawa UMNO dan Pas serius.
“Tetapi itu hanya permulaan iaitu bermula dengan UMNO dan Pas untuk mengembalikan solidariti politik orang Melayu dan Islam tetapi ia tidak boleh terhenti di situ sebab politik kita adalah politik majmuk,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua parti mengambil inisiatif untuk muafakat nasional yang besar dan amat diperlukan.
Tambahnya, pada peringkat seterusnya kerjasama sama dengan parti politik lain dan badan bukan kerajaan (NGO) akan perkukuhkan lagi.
“Kita mahu membentuk satu kerangka yang besar yang benar-benar boleh menyelamatkan negara, ini penting kerana kegagalan PH tidak boleh dibiarkan rakyat yang menanggung,” katanya. – UTUSAN ONLINE











