RANTAU PANJANG 20 Mei. – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas lembu, kambing dan biri-biri yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta untuk stok sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Haiwan ternakan tersebut dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat hasil maklumat dari unit risikan bermula Jumaat sehingga semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu Superintanden Ramly Pancho berkata, siasatan awal mendapati kesemua haiwan tersebut dibawa masuk untuk disembelih dan dagingnya dijadikan ‘stok’ bagi memenuhi permintaan Hari Raya Aidilfitri.
“Kesemua haiwan ini dibawa masuk menggunakan laluan-laluan tikus yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.
“Dalam serbuan pertama Jumaat lalu pada pukul 4.34 pagi, kita berjaya merampas 37 ekor lembu di kawasan Tok Uban dalam sebuah lori,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ramly memberitahu, serbuan kedua di Kampung Pulai, Pengkalan Kubor, Tumpat sebanyak 123 ekor lembu berjaya dirampas pada pukul 5.08 petang, Sabtu lalu.
Katanya, semalam, pasukan itu sekali lagi melakar kejayaan dengan merampas 74 ekor lembu, 46 ekor kambing jenis Boer dan 38 ekor biri di Kampung Kubang Pak Itam (Meranti).
“Rampasan di Kampung Pulai (Pengakalan Kubor, Tumpat) dan Kubang Pak Itam dilakukan di kawasan kandang milik penduduk tempatan selepas dikatakan dibawa masuk ke negeri ini dari negara jiran.
“Kesemua ternakan itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











