KUALA LUMPUR 16 Mei – Kumpulan AirAsia fokus melakukan transformasi ke atas semua aspek perniagaannya untuk berfungsi berteraskan digital.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Kumpulan AirAsia berada di landasan betul untuk mencapai sasaran itu.
Ia adalah seiring dengan matlamat beliau yang mahu AirAsia menjadi bukan sekadar syarikat penerbangan, sebaliknya sebuah platform hentian untuk memenuhi keperluan perjalanan orang ramai.
Pada sesi ceramah Hari Pelabur Kumpulan AirAsia 3.0 baru-baru ini, Tony menyampaikan wawasan dan pelan pertumbuhan bagi perniagaan penerbangan serta digital merangkumi peningkatan hasil dan inisiatif pengurangan kos syarikat.
Berkaitan pengurangan kos kata Tony, pesawat lama AirAsia akan digantikan dengan pesawat A320neo baharu dan A321neo pada suku ketiga tahun kewangan 2019.
Pesawat-pesawat ini mempunyai teknologi bahan bakar canggih yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 15 peratus pada tahun kewangan 2020. Ini bermaksud kos yang lebih murah bagi tiket penerbangan.
AirAsia juga memanfaatkan analisis data untuk melaksanakan penyenggaraan ramalan bagi memastikan penjadualan cekap untuk alat ganti yang berpotensi memberi penjimatan sehingga RM165,000 setiap pesawat setiap tahun.
Mengenai platform dalam talian, airasia.com, Tony berkata, ia mencatatkan nilai jualan kasar (GMV) sebanyak RM16 bilion hanya dari penjualan tiket penerbangan.
Ini akan terus diperkukuh dipacu mekanisme pelarasan tambang dinamik yang dapat meramalkan kuasa membeli pelanggan mengikut trend carian. Pelan untuk meningkatkan GMV kepada AS$25 juta menjelang 2025 tidak termasuk membuka airasia.com kepada perniagaan berkaitan perjalanan lain seperti hotel dan pakej pelancongan, e-dagang, langganan muzik dan permainan dalam talian serta e-hailing.
Malah, bagi menyokong pertumbuhan airasia.com, AirAsia juga telah memperkenalkan BigPay untuk membolehkan pembayaran mudah alih, pengeluaran tunai, debit prabayar MasterCard dan transaksi urus niaga bagi mata wang utama pada kadar pertukaran sangat kompetitif.
Kemudahan ini berkait dengan program kesetiaan BIGLIFE yang membolehkan pembelian barangan sampingan dan juga hotel di airasia.com melalui penebusan mata ganjaran.
Bergerak ke hadapan, BigPay mempunyai perancangan untuk menyediakan kemudahan pinjaman bagi perniagaan dan perkhidmatan pengiriman wang, yang mensasarkan warga asing yang bekerja di rantau ASEAN.
Orang ramai boleh mengikuti ceramah Tony menerusi videonya. – UTUSAN ONLINE











