KUALA LUMPUR 17 Mei – Kehadiran semula bekas jurulatih karate negara, Andris Vasiljevs di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini menimbulkan misteri di tengah-tengah isu peningkatan berat badan yang dialami atlet wanita kontroversi, Syakilla Salni Jefri Krisnan.
Warga Latvia itu dilihat menyertai Syakilla untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai MSN namun sebarang keputusan muktamad mengenainya hanya akan dicapai pada pertemuan susulan, minggu depan.
Vasiljevs difahamkan cuba menawar diri sebagai jurulatih hanya kepada Syakilla walaupun khidmatnya sudah tidak disambung sejak Disember lalu ekoran kegagalan skuad negara meraih pingat emas daripada Sukan Asia di Indonesia, tahun lalu.
“Perbincangan kami tadi cuba mencari penyelesaian terbaik untuk Syakillah layak ke Sukan Olimpik 2020. Ada beberapa pilihan yang kita boleh bergerak ke hadapan yang dicadangkan namun terpulang kepada MSN memutuskannya, minggu depan,” kata Vasiljevs.
Dua hari lalu, Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad mendedahkan berat badan juara Sukan Asia Incheon 2014 itu sudah mencapai 67.95 kilogram yang menyukarkannya kembali dalam kategori kegemarannya, bawah 55 kg.
Syakilla, 27, berkata, dia kurang pasti bagaimana berat badannya boleh mendadak sebegitu atau adakah berkaitan soal pemakanan namun mendakwa angkanya hanyalah sekitar 66kg.
“Keadaan ini pernah saya lalui sebelum ini dan saya rasa saya tahu bagaimana hendak menanganinya. Saya juga mahu kekal dengan kategori 55kg,” kata bekas pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2014 yang pernah menghuni ranking No. 1 dunia ini.
Makaf turut terpaksa menyenaraikan Syakilla dalam kelas bawah 61 kg dan 61 kg ke atas bagi Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini gara-gara peningkatan berat badan itu.
Kata Syakilla, misi antarabangsa terdekatnya untuk menambah mata sekali gus memperbaiki ranking dunianya sekarang ialah kejohanan K1 di Shanghai, China pada awal bulan depan.
Mengenai prestasi rakan sepasukan, P. Madhuri yang dikatakan mampu menyainginya dalam kelas bawah 55 kg, katanya, “dia sudah meningkat dan bagus apabila saya ada saingan namun sudah menjadi impian saya sekian lama untuk beraksi dalam Olimpik.”
Madhuri baru-baru ini mencapai ranking nombor satu bawah 21 tahun Persekutuan Karate Dunia (WKF) bagi kategori bawah 50 kg dan mungkin beralih kepada bawah 55 kg memandangkan Sukan Olimpik Tokyo hanya menggabungkan kedua-dua kelas kumite wanita itu. – UTUSAN ONLINE











