Vajiralongkorn penerus Dinasti Chakri - Utusan Malaysia

Vajiralongkorn penerus Dinasti Chakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 3 Mei – Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun secara rasmi ditabalkan esok, menggantikan Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada penghujung 2016.

Lapor Reuters, Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin buat kali keempat pada Rabu lalu dan menggelar Jeneral Suthida Vajiralongkorn na Ayudhya sebagai Permaisuri Suthida.

Dalam tempoh 18 bulan pemerintahannya setakat ini, Raja Maha Vajiralongkorn bertindak menyatukan kuasa monarki termasuk menguasai secara langsung kekayaan diraja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesetiaan kepada raja merupakan sifat yang tertanam dalam diri warga Thailand dan semakin di­sematkan ketika zaman pemerintahan Raja Bhumibol selama 70 tahun.

Potret Raja Maha Vajiralongkorn dipaparkan berse­belahan potret Raja Bhumibol di kebanyakan jalan dan bangunan awam sekitar Thailand.

Kritikan terhadap raja dan kerabatnya secara terbuka adalah dilarang, mana-mana rakyat yang melanggar peraturan itu, mereka akan dihukum sehingga 15 tahun penjara di bawah undang-undang ketat negara itu.

Raja Maha Vajiralongkorn yang dilahirkan pada 28 Julai 1952 merupakan anak lelaki sulung daripada empat beradik dan menerima pendidikan di Britain dan Australia sebelum menyertai Kolej Duntrron Tentera Diraja di Canberra, Australia.

RAJA YANG TEGAS

Sejak menaiki takhta, Raja Maha Vajiralongkorn menunjukkan kekuasaannya menerusi beberapa cara.

Sekitar Julai 2017, anggota perunda­ngan lantikan tentera meminda undang-undang 1936 untuk membenarkan kekuasaan penuh (dengan nasihat Menteri Kewangan) seorang raja terhadap biro harta diraja.

Sumber rapat Istana memberitahu Reuters, raja turut melibatkan kekuasaan tentera dalam hal ehwal istana.

Pada Disember 2017, Ketua Polis Diraja Thailand membe­ritahu wartawan bahawa raja telah menetapkan pakaian khas kepada semua anggota.

Pada tahun yang sama juga, seramai 400,000 anggota tentera turut diarahkan melakukan potongan rambut dan gaya hormat baharu yang diinspirasi daripada pengawal peribadi raja.

Pada masa yang sama, raja turut menghukum kakitangan istana secara terbuka, termasuk Distorn Vajarodaya yang dipecat pada November 2017.

Pada Disember tahun lalu, seorang pengawal keselamatan diraja dipecat dan digugurkan daripada sebarang kelebihan istana setelah melanggar disiplin ketenteraan dengan bersikap malas dan leka dalam menjalankan tanggungjawab.

Beliau turut menghalang kakaknya, Puteri Ubolratana, 67, daripada mencemar tradisi keluarga diraja kerana melibatkan diri dalam dunia politik.

PERKAHWINAN DIRAJA

Tiga hari sebelum pertabalan, Raja Maha Vajiralongkorn mengumumkan perkahwinannya dengan Timbalan Komander Unit Pengawalnya, Suthida Tidjai, 40.

Bekas kru Thai Airways itu digelar Permaisuri Suthida.

Permaisuri Suthida dikatakan menjalinkan hubungan mesra dengan raja selepas dilantik jawatan tersebut pada 2014.

Namun, kemesraan mereka tidak pernah diketahui mana-mana pihak, termasuk istana.

Raja Maha Vajiralongkorn yang gagal dalam perkahwinannya sebelum ini menetap di Jerman bersama-sama anak lelaki­nya yang bersekolah di sana.

Beliau dikatakan sering me­nerbangkan sendiri pesawat Boeing 737 ketika ke luar negara dan memiliki sebuah vila mewah di Tutzing, Jerman.

SEMANGAT SUKARELAWAN

Salah satu daripada program khas yang dibentuk Raja Maha Vajiralongkorn adalah semangat kesukarelawan yang bermula 2017.

Kerajaan Thailand menyatakan bahawa sekurang-kurang­nya 5.2 juta warga tempatan telah dilantik untuk membantu membersihkan kawasan awam dan membantu pihak polis mengendalikan trafik.

Antara operasi berprofil tinggi yang pernah digerakkan termasuk misi mencari dan menyelamat 12 remaja lelaki dan jurulatih mereka yang terpe­rangkap dalam sebuah gua di utara Thailand sekitar tahun lalu.

Badan sukarelawan tersebut telah membantu menaikkan lagi imej Raja Maha Vajiralongkorn sebelum ditabalkan sebagai pemerintah Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini