KUALA LUMPUR 26 Mei – Para usahawan yang menjalankan aktiviti perniagaan dengan menyertai program atau karnival jualan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dinasihatkan supaya bersabar sekiranya jualan produk masing-masing kurang mendapat sambutan.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, sebagai usahawan sepatutnya mereka memahami adat dalam menjalankan sebarang perniagaan iaitu terdapat pasang surut dan risiko-risiko yang bakal atau mungkin berlaku.
Kata beliau, terdapat pelbagai kemungkinan yang menyebabkan perniagaan merosot dan kurang mendapat sambutan seperti kurang hebahan atau promosi, justeru para usahawan perlu mempunyai alternatif untuk menguar-uarkan serta menarik perhatian orang ramai.
“Jika ada keluhan daripada peniaga mengenai tiada pelanggan, saya harap mereka bersabar sebab ini hakikatnya apabila kita berniaga risiko itu ada dan bukan maknanya kita jual barang hari ini orang terus nak beli.
“Mungkin perlu mempromosikan barangan dengan kaedah penggunaan teknologi terkini supaya masyarakat tahu ada jualan di sini selain kempen-kempen yang di kaca televisyen yang perlu diperbesarkan sebab karnival lain saya lihat mereka berkempen begitu agresif, jadi pengunjung pun ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi Grand Bazar Ramadan Raya (GBRR) 2019 beroperasi selama 20 hari bermula sejak 18 Mei lalu.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Redzuan berkata, antara sebab lain beberapa karnival jualan sempena Hari Raya Aidilfitri kurang mendapat sambutan kerana terdapat program yang hampir serupa di kawasan berdekatan.
Katanya, keadaan pengunjung juga perlu diambil kira sama ada kemampuan ekonomi dan ruang masa mereka.
“Kalau kita lihat karnival begini banyak seperti di Putrajaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Shah Alam pun ada, jadi mungkin di situ kita kena tgk balik, sektor swasta pun kena tengok adakah kita hendak tumpu pada satu dua tempat atau pelbagai tempat lain juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE











