Unicorn Melayu sasaran DPMM - Utusan Malaysia

Unicorn Melayu sasaran DPMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BIDANG keusahawanan bukanlah asing dalam masyarakat Melayu, namun entah di mana silapnya mereka masih lagi tidak dapat bersaing dengan bangsa lain yang jauh ke hadapan.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendapati, bukanlah kaum Melayu itu tidak boleh berjaya. Ini memandangkan  ramai kalangan usahawan yang berjaya kini pun terdiri daripada Melayu. 

Bagaimanapun, sikap dan fokus perniagaan yang ‘melayang-layang’ menyebabkan sebilangan besar usahawan Melayu terus ketinggalan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Baru-baru ini, Presiden DPMM, RIZAL FARIS MOHIDEEN ABDUL KADIR berkongsi inspirasi DPMM dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, HAFIZAHRIL HAMID dan ASHRIQ FAHMY AHMAD. Antaranya kata beliau, “sekarang adalah masa untuk bergerak ke hadapan, fokus kepada agenda (memartabatkan usahawan Melayu) dan moga tiada lagi saling tuding menuding mencari salah sesama sendiri”. 

Ikuti inti pati temubual sejam bersama beliau.

KERAJAAN BAHARU

Selepas tanggal 9 Mei 2014 saya rasa bukan sahaja pihak DPPM yang merasai perubahan drastik dalam negara, tapi semua stakeholders. Memang kita telah menjangkakan perubahan ini akan berlaku kerana dalam kalangan ahli-ahli dewan sendiri pun ramai yang sudah rasakan tekanan akibat kos sara hidup yang semakin tinggi serta dan isu gaji sedia ada tidak naik dan pelbagai lagi.

Peluang niaga menjadi semakin kurang. Dana, bajet pun dah kurang. Perkara ini sudah mula dirasai sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi. Rakyat sudah mula bimbang dengan arah tuju negara. Ketika PRU-14, pelbagai janji dalam manifesto kerajaan hari ini beri keyakinan kepada rakyat Malaysia, terutamanya Melayu. Tambah lagi kerajaan diketuai individu berpengalaman iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang rakyat Malaysia melihat suatu harapan baharu.

Perubahan negara telah dijangka dan di pihak DPMM juga tidak kurang menghadapi cabaran dari segi krisis kepimpinan dan perlembagaan. Alhamdulillah, sehingga akhir tahun (2018) pelbagai krisis dapat kita bendung menerusi tindakan undang-undang, rule of law. Keadaan kini bertambah baik.

Bila berlaku pertukaran kerajaan, ramai yang mengharapkan sesuatu yang lebih baik, tetapi realitinya kerajaan baharu terpaksa mengharungi masalah yang lebih besar, iaitu membanteras gejala rasuah. Seperti yang kita lihat dalam jangka masa setahun ini, jika kerajaan menepati apa yang dirancang, semua akan menjadi lebih baik.

Sebab itu bila kita baca suratkhabar hari ini, hampir setiap hari ada sahaja berita berkaitan rasuah menandakan bahawa kerajaan hari ini sedang melaksanakan tugas mereka (membanteras rasuah). Proses reform dalam mengukuhkan institusi-institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), semua ini sudah berlaku. Jadi kita berasa puas hati untuk segala proses perubahan ini.

Bagaimanapun, bagi kumpulan sasar iaitu usahawan Melayu, perkara yang pening adalah satu pelan baharu perlu dihasilkan dan dibawa ke seluruh negara agar mereka (usahawan Melayu) dapat memahami apa perancangan oleh kerajaan baharu untuk membangunkan kehidupan orang Melayu keseluruhannya.

DUA KEMENTERIAN DUDUK BERSAMA NGO

DPMM akan memainkan peranan memastikan berlakunya perubahan di peringkat akar umbi, itu masih belum terlaksana. Apa yang sedang berlaku hari ini adalah ‘pembersihan’ di peringkat negara iaitu pengukuhan institusi-institusi yang memartabatkan undang-undang dalam negara.

Dari segi pengukuhan ekonomi orang Melayu dalam negara secara terancang dan jelas masih belum wujud. Namun dari segi tanggungjawab, perkara tersebut telah pun kerajaan ambil perhatian. Kita sekarang sudah ada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang mana memperlihatkan perubahan baharu dalam negara.

Bagaimanapun, mereka ini perlu duduk bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta untuk merangka pelan tindakan ekonomi yang lebih jelas. Setahun telah berlalu dan perkara ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan akar ubi, ramai juga yang menunjukkan rasa tidak puas hati, jadi sesuatu perlu dilaksanakan segera.

BANTU USAHAWAN MELAYU

Sebelum ini kerajaan terdahulu di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membangunkan projek PR1MA. Bagi DPMM, bekerjasama dalam membangunkan projek-projek perumahan tersebut bertujuan memberi peluang kepada usahawan dan pemaju Melayu. Pemaju-pemaju Melayu ini tidak ramai, justeru menerusi projek seperti PR1MA, mampu membantu mewujudkan lebih ramai individu seperti ini.

Malangnya, hari ini kita mendengar kerajaan mahu menamatkan program ini. Jadi, apa yang akan berlaku kepada usahawan-usahawan Melayu ini? Mereka kini tiada pekerjaan, pembayaran untuk kerja-kerja yang telah disiapkan juga agak perlahan.

Sejak negara merdeka, sememangnya agak sukar untuk membangunkan usahawan Melayu dan sehingga kini hampir 88 peratus daripada mereka hanya merupakan syarikat-syarikat yang kecil dalam bentuk mikro, bukan SMI (Small Medium Enterprise) pun. Jadi, cabaran terbesar DPMM kini adalah bagaimana untuk tingkatkan perniagaan mereka dan berapa peratus yang boleh kita capai…10 peratus, 30 peratus? Sasaran kita adalah 50 peratus.

Mereka yang ada turnover (perolehan) sekitar RM250,000 setahun perlu kita tingkatkan kepada SMI kecil yang mampu meraih pendapatan RM1 juta, RM2 juta setahun pula.

APA KATA TUN?

Dalam pertemuan DPMM dengan Dr. Mahathir baru-baru ini, kami dinasihatkan agar usahawan Melayu perlu ubah sikap. Kata Tun, sikap inilah yang membantutkan syarikat-syarikat Melayu untuk berkembang pesat. Orang Melayu perlu ubah sikap, baru boleh membangun. Tiada lagi mindset mahu cepat kaya, pilih-pilih kerja. Kini, kita kena buat apa sahaja.

Keduanya, Malaysia tidak lagi boleh menjadi negara pengguna semata-mata. Asyik membeli. Kita perlu ubah agar jadi negara pengeluar. Sekarang ni pelbagai mesin murah ada dijual untuk menghasilkan pelbagai produk. Rakyat boleh memanfaatkannya. Sasarkan untuk perniagaan luar negara. Dapat hasilkan produk yang boleh memenuhi permintaan. Isunya hari ini bagaimana untuk memenuhi permintaan yang ada masa kini. Jadi, usaha kita adalah untuk mempersiapkan mereka dari segenap segi.

DPMM anggap perkara ini bukan perkara baharu. Kami telah buat kajian 100 hari. Apa yang kita dapati adalah kekangan masyarakat Melayu yang lemah dalam memanfaatkan ekonomi digital sebagai salah satu cabang perniagaan mereka. Masalahnya, ramai dalam kalangan usahawan Melayu hari ini menggunakan telefon pintar hanya untuk tujuan perhubungan dan hiburan. Padahal, hari ini kita sudah boleh cari duit dengan telefon pintar kita.

UNICORN MELAYU

Secara dasarnya DPMM membantu semua, tetapi memang penting untuk kami dan stakeholders membantu usahawan Melayu. Dalam dunia ekonomi digital sebenarnya, kita yang pertama di mana negara-negara lain masih tiada idea. Namun kita ketinggalan dan kini kita sedang mengejarnya kembali.

Dalam aspek ini, DPMM menyasarkan untuk menghasilkan Unicorn Melayu yang pertama dalam negara. Ya, ia bukan sebarang Unicorn tetapi syarikat Unicorn Melayu (bernilai RM1 bilion) yang pertama seumpamanya. Maka sebab itu kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini