Ugut bunuh kru penerbangan, lelaki Lithuania didenda RM12,000 - Utusan Malaysia

Ugut bunuh kru penerbangan, lelaki Lithuania didenda RM12,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 23 Mei – Seorang lelaki warga Lithuania didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kru penerbangan Oman Air, Ahad lalu.

Petronis Augustinas, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A.Akhiruddin @ Boy Acho di sini hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, perunding pembinaan yang menetap di London, United Kingdom itu didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan niat menyebabkan kematian terhadap Amal Sfaxl.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan olehnya di dalam penerbangan Oman Air dari Muscat, Oman ke Kuala Lumpur pada pukul 5.30 pagi, 19 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, Augustinas didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menggunakan kata-kata mengancam, kesat atau menghina terhadap kru penerbangan terbabit dan tertuduh didakwa di bawah Peraturan 102, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 206 (2)(A).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan manakala tertuduh diwakili peguambela, Zaflee Pakwanteh.

Terdahulu, Nasharina memohon hukuman penjara ekoran tertuduh melakukan kesalahan berat terhadap kru penerbangan dengan mengeluarkan ugutan bunuh.

Zaflee bagaimanapun dalam rayuannya meminta mahkamah menetapkan hanya hukuman denda dikenakan terhadap anak guamnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini