TIDAK keterlaluan jika dikatakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ialah seorang presiden yang gila perang.
Pertama, kecenderungannya untuk berperang dengan Iran. Dalam mesyuarat luar biasa beberapa minggu lalu yang diadakan pasukan keselamatan negaranya, Pentagon membincangkan opsyen meletakkan 120,000 tentera AS di rantau Asia Barat.
Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton telah bertindak secara provokasi dengan mengenakan sekatan yang lebih keras dan menjalankan kegiatan propagandanya bagi mencetuskan keyakinan dunia bahawa Iran adalah ancaman sejagat. Ini bertentangan dengan laporan perisikan mengatakan tiada bukti Iran mengancam kepentingan AS di rantau Asia Barat, apatah lagi mencetuskan konflik.
Sejak dua tahun lalu, kemungkinan AS untuk menyerang Iran adalah ketara terutama penarikan diri daripada rundingan nuklear Iran. Malah Kabinet Trump telah membincangkan secara terbuka tentang agenda pertukaran rejim Iran dan opsyen untuk menggunakan serangan ketenteraan seperti dilakukan ke atas Iraq. Sepanjang dua tahun lepas, beliau telah membatalkan perjanjian kawalan senjata nuklear dengan Iran dan sekarang mengancam untuk berperang dengan negara tersebut.
Baru-baru ini, Trump campur tangan dalam pilihan raya Venezuela dengan tujuan menjatuhkan Presidennya, Nicholas Madura tetapi ternyata gagal. Mungkin ini sebabnya untuk Trump mengalih perhatian kepada Iran pula.
Kedua, syarikat teknologi AS, Google telah mengumumkan penggantungan perkhidmatannya untuk syarikat China, Huawei, sekali gus membuatkan mereka dalam keadaan terumbang-ambing mengenai perancangan masa depan perkakasan, perisian dan teknikalnya. Ini merupakan lanjutan daripada perang dagang AS-China.
Sebelum ini Trump mencetuskan perang dagang dengan Rusia dan China, namun ternyata gagal. Walau bagaimanapun, perang antara AS dan China bahagian kedua memanas kembali. Permasalahan ini bermula daripada Trump kembali menaikkan tarif import produk China ke AS daripada 10 menjadi 25 peratus.
Trump juga memburukkan keadaan di Asia Barat dengan campur tangan dalam perang saudara di Syria dan membantu kumpulan-kumpulan bukan Arab seperti ISIS dan Nusrat untuk menjatuhkan rejim Basher al-Assad di Syria. Di samping itu beliau memanjangkan penglibatan tentera di Afghanistan dalam perang yang tidak menampakkan sebarang kemajuan.
TENTERA
Seperti presiden-presiden AS yang lalu, Trump juga menyakini bahawa pembabitan AS di mana-mana rantau di dunia ini terutama Asia Barat hanya dapat diselesaikan melalui penglibatan secara ketenteraan. Tetapi permusuhan Trump ini agak keterlaluan. Dia juga adalah presiden pertama AS sejak Perang Enam Hari antara negara Arab dan Israel dengan tidak mengambil jalan diplomasi dalam hubungan antara Israel dan Palestin.
Beliau mengetepikan nasihat awal pasukan keselamatan terdahulu.Trump mengambil langkah ke arah perseteruan terbuka dengan negara Islam dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara entiti haram Israel.
Tindakan seterusnya daripada pengumuman itu ialah dengan menutup konsulat AS di Baitulmaqdis Timur, menghentikan bantuan kepada warga Palestin dan menutup pejabat pihak berkuasa Palestin di AS.
Langkah lebih berani yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Presiden AS ialah Trump secara terbuka mengiktiraf Bukit Golan sebagai sebahagian daripada kawasan Israel dan juga menyokong tuntutan Israel terhadap Gaza.
Dalam kes pembunuhan wartawan kelahiran Saudi, Jamal Khashoggi, Trump tidak menunjukkan sebarang kritikan keras atau kecaman secara terbuka kepada Putera Salman dan Arab Saudi. Umum mengetahuinya atas sebab-sebab kepentingan sumber minyak. Bahkan, Trump melampaui batas lagi, dengan bersubahat ke atas pembunuhan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang awam dalam serangan yang tidak berperikemanusiaan di Yemen.
Namun pada masa sama, Trump sering mencetuskan kejutan apabila membuat satu panggilan telefon kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Disember 2018, mengumumkan yang beliau menarik keluar 2,200 tentera AS dari Syria.
Tindakan Trump ini telah mengejutkan negara-negara sekutunya di Eropah bahkan mencetuskan keributan di White House tanpa perbincangan dengan menteri-menterinya.
Tindakan terkini Trump yang mencetuskan kemarahan sekutunya di Asia Barat apabila menamai kumpulan pergerakan Islam, Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) sebagai pertubuhan pengganas.
Rasional Trump menamakan Ikhwan sebagai pertubuhan pengganas, mungkin berdasarkan kepada laporan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, yang ingin menamatkan hayat Ikhwan di negara itu dan melumpuhkan rangkaiannya di seluruh dunia telah memperlihatkan perasaan tidak puas hati dalam kebanyakan negara sekutunya.
PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).











