LONDON1 Mei – Tottenham perlu bangkit dalam aksi timbal balik di Amsterdam pada 8 Mei ini jika mahu meraih tiket final Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas tumpas 0-1 kepada Ajax dalam separuh akhir pertama di laman sendiri, hari ini.
Jaringan Donny van de Beek pada minit ke-15 membolehkan Ajax membawa pulang bekalan terbaik dalam pertembungan di antara dua kelab ‘underdog’.
Ketiadaan pemain utama seperti Harry Kane, Harry Winks, Serge Aurier, Erik Lamela dan Son Heung-min jelas menjejaskan permainan Spurs yang membuat kemunculan sulung pada separuh akhir Liga Juara-Juara.
Memburukkan lagi keadaan Tottenham, bek tengah mereka, Jan Vertonghen terpaksa meningalkan padang akibat kecederaan kepala.
Pemain antarabangsa Belgium itu berlaga dengan rakan sepasukan, Toby Alderweireld dan penjaga gol Ajax, Andre Onana, 10 minit sebelum babak pertama berakhir.
Perlawanan di Stadium Tottenham Hotspurs dianggap seimbang kerana kedua-dua pasukan kurang pengalaman beraksi di pentas besar liga utama Eropah.
Begitupun, skuad muda Ajax tampil dengan lebih meyakinkan, terutama selepas mengejutkan juara bertahan, Real Madrid dan gergasi Serie A, Juventus dalam laluan ke separuh akhir.
Pasukan pelawat menguasai permainan sebaik sahaja wisel ditiupkan, dan kebimbangan peminat tuan rumah akhirnya menjadi kenyataan apabila Van de Beek menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris dalam situasi satu lawan satu. – AGENSI











