KUALA LUMPUR 3 Mei – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin hari ini ditempelak oleh Dr. Rozaimi Ramle menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook pendakwah terkenal itu.
Perkara itu berikutan cubaan Hanipa mempertahankan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung isu solat di belakang imam Syiah.
Rozaimi yang juga Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, kenyataan Mohamed Hanipa bahawa beliau adalah seorang yang totok kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah gelaran syok sendiri kerana banyak kandungan kenyataannya itu tidak menepati pandangan seorang yang berfahaman begitu.
“Saya tidak pasti siapa yang memberikannya gelaran totok ASWJ itu kepada beliau. Jika benar beliau totok ASWJ, pastinya beliau akan alergik dengan pencela sahabat Nabi.
“Maaf cakap YB, bagi saya gelaran totok ASWJ itu sepertinya gelaran syok sendiri. Sendiri rasa, sendiri bagi, sendiri pakai, sendiri perasan. Moga kita dijauhkan dari perasaan syok sendiri,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Hanipa mempertahankan Mohamad dengan mendakwa adalah normal bagi seorang berfahaman Sunni solat berimamkan seorang Syiah dalam masjid-masjid di Iran.
Beliau turut mendakwa salah seorang imam bagi penganut Syiah adalah Imam Jaafar Al-Sadiq dan beliau merupakan guru kepada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik yang masing-masing merupakan pengasas mazhab Hanafi dan Maliki.
Kenyataan itu dibidas Rozaimi yang mendakwa seorang penganut fahaman ASWJ tidak akan menganggap Imam Jaafar sebagai tokoh Syiah sebaliknya akan menganggap beliau sebagai tokoh ASWJ.
Rozaimi turut menyertakan keratan karya tokoh Syiah dari Iran, Al-Khumeini yang menurut beliau secara jelas mengatakan balu Nabi Muhammad, Aisyah dan sahabat baginda, Abu Talhah serta Zubair lebih jijik daripada anjing dan babi.
“YB selalu mengulas tentang penghormatan YB kepada orang lain. Saya ingin ingatkan YB, jangan lupa tanya diri sendiri: Aku ini siapa yang hormat?
“Kerana saya takut YB jadi bahan ketawa rakyat jelata,” katanya. – UTUSAN ONLINE











