LAUSANNE, Switzerland 23 Mei – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) merancang mengetepikan badan induk sukan tinju dunia sebagai pemegang hak penganjuran di Sukan Olimpik Tokyo pada 2020.
Bagaimanapun IOC memberi jaminan, sukan tersebut akan tetap dipertandingkan walau tanpa Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA) yang didakwa sedang berdepan krisis salah urus oleh pemimpinnya.
AIBA sudah berbulan lamanya disiasat menyebabkan presiden IOC, Thomas Bach menganggap ia sebagai bukti kukuh berlakunya penyalahgunaan kuasa yang serius. Keputusan muktamad akan dibuat apabila ahli penuh IOC bermesyuarat bulan depan.
Ketika ini IOC sedang cuba meyakinkan ahlinya untuk mengetepikan AIBA dan dalam waktu sama mencari jalan untuk membolehkan sukan itu dipertandingkan dengan apa cara sekali pun demi petinju yang berada di seluruh dunia.
“Biar siasatan itu bercakap untuk kita namun impian petinju untuk beraksi di Sukan Olimpik tidak akan berkubur ketika kita mahu memastikan AIBA menerima hukuman yang setimpal,” kata Bach dalam satu kenyataan.
Antara yang sedang disiasat ke atas AIBA adalah berkaitan kewangan, ketelusan pengurusan dan etika anti-doping, pengadil dan pengadilan berat sebelah. – AFP











