ALOR SETAR 3 Mei – Kerajaan masih mempunyai banyak ruang lain seperti meningkatkan teknologi penanaman padi dan penggunaan jentera moden yang lebih praktikal untuk membantu pesawah, daripada memperkenalkan idea menanam tanaman itu pada waktu malam.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman berkata, antara teknologi yang perlu diberi perhatian serius adalah penggunaan dron yang terbukti menjimatkan tenaga manusia dan kos penanaman serta meracun.
Pada masa sama kata beliau, jika benar-benar ikhlas hendak membantu pesawah, kerajaan seharusnya memberi tumpuan bagi mengatasi isu pemberian subsidi yang selama ini bukan membantu golongan itu tetapi sebaliknya pengguna.
“Harga beras tempatan ditetapkan sejak sekian lama sedangkan beras import pula diapungkan.
“Selesaikan juga masalah yang membelenggu pesawah seperti meningkatkan kualiti benih padi, mengatasi penyakit dan serangan serangga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan kerajaan semalam iaitu untuk memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi pada waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan rakyat.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing yang kini mencecah tujuh juta. – UTUSAN ONLINE











