'Tindakan segera dilakukan' - Utusan Malaysia

‘Tindakan segera dilakukan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjanjikan tindakan segera diambil bagi menangani aduan berlakunya kenaikan harga barang-barang basah dan keperluan asas menjelang Hari Raya Aidilfitri termasuk kegiatan menyorokkan bekalan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan hal tersebut dan beliau meminta pihak yang menerima aduan untuk membantu melaporkan segera kepada kementerian.

“Saya mengajak pihak persatuan pengguna yang menerima aduan itu, segera melaporkan kepada kami, kalau boleh dalam masa 24 jam. Saya berharap kerjasama dapat diberikan untuk diberikan secara spesifik premis perniagaan mana, barangan apa yang dikatakan naik dan di mana berlakunya aduan sorok barang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya fikir itu lebih bijak dan bertanggungjawab agar tidak wujudkan suasana panik yang tidak kita perlukan sama sekali. Saya tidak katakan perkara ini tidak berlaku tapi pihak yang terima aduan itu perlu segera bawa kepada kementerian, kita janjikan tindakan segera, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penarafan Zon Perdagangan Terpilih Zon Tengah 2019 di sini hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata,pihaknya mula menerima aduan dan maklumat berkaitan kegiatan menaikkan harga barang dan menyorok bekalan terutama di Lembah Klang dan bahagian utara tanah air.

Sementara itu, menurut Saifuddin Nasution, pihaknya mengharapkan menerusi program Zon Perdagangan Terpilih, aktiviti perniagaan akan bertambah rancak dan premis perniagaan yang mendapat pengiktirafan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada premis lain untuk bersaing secara sihat pada masa sama patuh kepada etika perniagaan dan perundangan.

“Pada masa sama, pengguna juga dapat menerima manfaat di mana mereka boleh mengetahui dan tidak akan berdepan kemungkinan terbeli barangan tiruan dan sebagainya,” katanya.

Program Zon Perdagangan Terpilih merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada setiap kompleks dan zon perniagaan yang telah mencapai tahap pematuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Program Penguatkuasaan Bestari.

Program tersebut dilaksanakan di lima buah zon yang meliputi zon utara, tengah, selatan dan timur. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini