KOTA KINABALU – Tiga lelaki maut dalam insiden pelanggaran antara dua buah bot di perairan Pulau Gaya kira-kira pukul 11.40 malam tadi.
Ketua Polis daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 15 dan 20 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh paramedik selepas dibawa ke Jeti Suria Sabah.
Beliau berkata, kejadian berlaku semasa ketiga-tiga mereka bersama tujuh penumpang lain yang berumur antara 12 dan 37 tahun sedang dalam perjalanan dari Kampung Pondo ke Jeti Safma, apabila bot yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bot lain yang dalam perjalanan dari Jeti Pasar Ikan menuju ke Kampung Pondo.
Katanya, disebabkan keadaan gelap, pengendali bot kedua itu hanya sedar mengenai kehadiran bot penumpang berkenaan semasa ia berada di jarak terlalu dekat, mengakibatkan pelanggaran tidak dapat dielakkan, dan ia mengakibatkan kedua-dua bot itu terbalik.
Habibi berkata, penumpang bot yang terselamat kemudiannya dibawa oleh bot awam lain yang berada di lokasi kejadian, dan mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapat rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dihantar ke HQE untuk dibedah siasat, dan polis menahan seorang suspek berumur 56 tahun bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama











