PUTRAJAYA 27 Mei- Tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan kepada Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham susulan penganjuran Program Iftar Perdana yang disifatkan seperti pesta baru-baru ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya teguran diberikan berhubung program berkenaan yang mana pengisian aktivitinya agak canggung dan tidak bersesuaian dengan bulan Ramadan.
Beliau berkata, perkara berkenaan sebenarnya telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah membuat teguran.
“Sepatutnya di 10 hari terakhir Ramadan ini kita mempertingkatkan ibadah, jaga tingkah laku dan sebagainya. Jadi bila adanya elemen seperti ‘live band’ dan bunga api di program berkenaan ianya dilihat agak canggung.
“Kita hanya setakat berikan teguran sahaja dan tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan bilik pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) di kementeriannya di sini, hari ini.
Semalam, Anwar memohon maaf berhubung tindakan AMK yang menganjurkan program berbuka puasa seperti sebuah pesta selepas menerima bantahan yang mengatakan program itu disambut dengan lagu dan bunga api. – UTUSAN ONLINE











