KUALA LUMPUR 22 Mei – Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kes monkeypox yang dikesan atau dilaporkan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes pertama monkeypox terkini yang dilaporkan di Asia adalah di Singapura pada 9 Mei lalu dan hanya melibatkan seorang warganegara Nigeria yang berkunjung ke negara republik itu pada hujung April.
Tegas beliau, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Singapura menjadi kontak kepada kes monkeypox itu.
“Langkah-langkah pencegahan yang ketat telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut, termasuk kuarantin ke atas 23 orang yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes bagi pemantauan status kesihatan mereka.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat atau berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Dr. Noor Hisham, virus monkeypox ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.
Kata beliau, virus itu boleh disebarkan melalui titisan pernafasan dan melalui kontak langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.
Katanya, tempoh inkubasi biasanya antara enam hingga 21 hari manakala pesaka akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu dengan tanda-tanda seperti demam, keletihan, sakit kepala dan ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan serta tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain.
“Buat masa ini tiada rawatan atau vaksin khusus untuk jangkitan monkeypox, kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad,” katanya. – UTUSAN ONLINE











