LONDON 22 Mei – Legenda bola sepak Chelsea, John Terry berada dalam senarai teratas calon pengurus baharu kelab Liga Kejuaraan England, Middlesbrough.
Bekas tonggak pertahanan England itu menghabiskan sebahagian besar musim ini dengan menjadi pembantu pengurus Aston Villa di bawah kendalian Dean Smith.
Gandingan Smith dan Terry berjaya membawa Villa melangkah ke final playoff Liga Kejuaraan menentang Derby County pada 27 Mei ini, yang mana pemenang akan kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan.
Menurut TalkSport, Terry, 38, menjadi pilihan utama ketika in biarpun dia turut berdepan saingan daripada beberapa calon lain.
Pengurus Middlesbrough, Tony Pulis membuat keputusan untuk berpisah dengan pasukan itu pada hujung musim ini ekoran kegagalan mereka menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik Liga Kejuaraan.
Selain Terry, seorang lagi bekas pertahanan England, Jonathan Woodgate turut menjadi dikaitkan dengan jawatan tersebut bersama Gabriel Batistuta dan Nigel Pearson. – AGENSI











