ALOR SETAR – Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila ternampak seekor ular sawa batik menyelinap masuk ke dalam stor penyimpanan gas makmal sebuah sekolah menengah di Pokok Sena di sini semalam.
Kelibat ular sawa sepanjang tujuh meter dengan berat kira-kira 25 kilogram itu disedari pengawal keselamatan ketika membuat rondaan sekitar kawasan sekolah kira-kira pukul 10.15 malam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd. Shukri Shuib berkata, reptilia itu dilihat masuk ke dalam stor sekolah selepas dipercayai mengejar seekor biawak.
“Pusat kawalan operasi daerah Padang Terap menerima panggilan berhubung penemuan ular itu daripada seorang guru, Nazri Ahmad, 52, pada pukul 10.23 malam tadi.
“Sebaik anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba di lokasi, didapati seekor ular sawa berada di dalam stor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, empat anggota APM diketuai Koperal (PA) Mohd. Rizal Ali mengambil masa selama 45 minit untuk menangkap ular tersebut kerana reptilia itu agresif selain berada di tempat yang sukar untuk ditangkap.
“Ular sawa batik ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – K! ONLINE











