KOTA BHARU 17 Mei – Budaya berbuka puasa di kawasan lapang termasuk di tepi jalan besar bukanlah sesuatu yang janggal malah menjadi aktiviti yang dinanti pada bulan Ramadan.
Antara tempat yang menjadi pilihan di bandar ini adalah kawasan luar pagar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Jalan Pengkalan Chepa, di sini.
Lokasi itu secara tradisi menjadi ‘port’ kesukaan penduduk tempatan pada waktu petang untuk menikmati pandangan kapal terbang silih berganti mendarat dan berlepas.
Tinjauan Utusan Online semalam mendapati lebih 50 penduduk berbuka puasa di situ, sama ada bersama keluarga mahupun sahabat handai dengan menghampar tikar atau berlapikkan surat khabar di atas rumput di luar pagar LTSIP yang kebetulan mempunyai ruang untuk bersantai sejauh kira-kira 100 meter.
Deruan bunyi enjin kapal terbang yang naik turun di landasan betul-betul di hadapan mata menjadi hiburan mereka sambil menunggu waktu untuk berbuka puasa.
Jururawat, Hasliza Ab Salam, 39, dari Pantai Senok, Bachok berkata, dia bersama suami, Che Yuswar Che Yusoff, 47, dan empat anak berusia enam tahun hingga 15 tahun sudah biasa ‘lepak’ di situ pada waktu petang tetapi ini pertama kali mereka berbuka puasa.

“Saja suka-suka untuk Ramadan, kami beli makanan di Bazar Ramadan Taman Bendahara dan datang ke sini untuk berbuka, malah kami juga pernah berbuka puasa di Tambatan Diraja.
“Ia bukan satu masalah kerana kalau berbuka puasa di rumah pun kita ambil masa kurang 30 minit untuk makan, kalau di luar sebenarnya lebih cepat dan untuk sembahyang Maghrib pun ada masjid yang berdekatan,” katanya.
Sementara itu, pelajar tahun akhir dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nurul Nazirah Mad Yusuff, 26, berkata, dia bersama dua lagi rakan sefakulti, Wan Nur Atiqah Shamsudin, 23, dan Nurul Natasah Zul Azhar, 24, tertarik datang ke situ setelah mendengar berita tentang tempat itu yang popular di kalangan penduduk tempatan.

Nurul Nazirah yang berasal dari Pontian, Johor dan mengambil program Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian di Kampus Besut UniSZA berkata, kekurangan taman rekreasi mungkin faktor kawasan tepi pagar LTSIP menjadi pilihan ramai orang namun ia juga adalah satu keunikan.
“Kami datang dengan kereta dari Besut ke Kota Bharu hari ini untuk melepaskan tekanan kerana sedang dalam musim peperiksaan akhir sebelum tamat pengajian.
“Selepas membeli makanan di Bazar Ramadan kami tercari-cari tempat sesuai untuk berbuka puasa dan mengambil keputusan datang ke sini, inilah kali pertama kami berbuka dalam suasana begini dan begitu dekat dengan landasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









